Pertama: Mandi Sunat Jumaat
Mandi sunat Jumaat ini disyariatkan bagi sesiapa yang ingin hadir untuk menunaikan solat Jumaat daripada kalangan lelaki samada baligh, bayi dan mumayyiz. Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:
Maksudnya: “Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang baligh”.
Hadis Riwayat Muslim
Niat Mandi Sunat Jumaat – Sahaja aku mandi sunat jumaat kerana Allah Taala.’
- Niat dan Cara Mudah Mandi Wajib Mengikut Hadis
- Pancut Luar – Hukum Memancutkan Air Mani di Luar Faraj
- Apa Hukum Perbuatan Suami Meliwat Isteri – Seks Anal
- Suami Isteri – Hukum Mengisap Kemaluan dan Telan Air Mani
- Kreatif – 25 Ucapan Assalamualaikum Salam Jumaat Penghulu Segala Hari
Waktu mandi sunat Jumaat adalah bermula masuk waktu azan solat Subuh sehingga hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat. Antara Hikmah disunatkan untuk mandi sunat Jumaat ini adalah mengharumkan bau badan, menghilangkan peluh dan bau busuk . Disebabkan itu juga, Rasulullah SAW melarang memakan bawang putih dan bawang merah bagi sesiapa yang ingin hadir untuk mendirikan solat di masjid.
Ibn Umar ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang hendak menunaikan solat Jumaat, hendaklah dia mandi
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Kedua: Memakai Wangi-wangian
Bau badan yang tidak menyenangkan mungkin akan membuatkan orang-orang sekeliling akan menutup hidungnya dan memberikan pandangan yang tidak menyenangkan. Nabi Muhammad saw akan memakai minyak wangi kasturi saat beribadah atau pada ketika ingin melakukan interaksi dengan orang sekeliling.
Allah swt juga berfirman “Sesungguhnya Allah swt menyukai orang orang yang bertaubat dan orang orang yang menyucikan diri” – Surah al-Baqarah 222
Nabi s.a.w turut bersabda, maksudnya:” Hendaklah setiap muslim mandi pada hari Jumaat, kemudian memakai pakaian yang terbaik, dan jika ia mempunyai wangi-wangian, maka hendaklah ia memakainya.”
Hadis Riwayat Ahmad bin Hanbal.
Oleh tu, berwangi-wangianlah mengikut sunnah, agar kita semua beroleh pahala. Insya-Allah
Baca: 30 Ucapan Salam Jumaat Yang Indah
Ketiga: Memotong kuku, Mencukur bulu
Islam sangat menitikberatkan kebersihan. Perbuatan memotong kuku sangat digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat. Merujuk kepada sebuah hadis, memotong kuku termasuk di dalam fitrah manusia:-
Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Fitrah itu ada lima, iaitu berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai”.
Namun, sekiranya tidak sempat, seseorang boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Akan tetapi janganlah membiarkan tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh malam.
“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam.”
Hadis Riwayat Muslim
Disunatkan memulakan dari tangan kanan kemudian tangan kiri serta memulakan kaki kanan kemudian kaki kiri.
Keempat: Datang Awal ke Masjid
Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang menuntut seseorang itu untuk hadir awal ke masjid bagi tujuan menunaikan solat Jumaat.
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Imam Tarmidzi meriwayatkan, antara kelebihan yang ada pada hari jumaat adalah: “Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mencuci kepala dan anggota badannya yang lain, lalu ia pergi di awal waktu atau ia pergi dan mendapati khutbah pertama, lalu ia mendekati imam, mendengar khutbah serta diam, maka setiap langkah kakinya terhitung seperti puasa dan solat setahun”.
Marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini di dalam kehidupan seharian kita agar mendapatkan kelebihan-kelebihan yang dijanjikan. Insya-Allah
Kelima: Membaca Surah al-Kahfi
Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat. Surah Al Kahfi merupakan surah yang ke-18 dalam turutan surah-surah di dalam Al Quran dan mempunyai 110 ayat. Nama surah ini diambil sempena kisah utama dalam surah ini sendiri iaitu kisah pemuda yang tertidur di gua (kahfi) selama 309 tahun selepas mereka melarikan diri daripada pemerintah yang kufur pada ketika itu.
Terdapat beberapa dalil yang menyatakan kelebihan membaca surah al-Kahfi pada hari jumaat.
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”
Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi
“Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”
Hadis Riwayat al-Darimi
Kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal. Semoga anda semua sentiasa dalam perlindungan Allah. Diriwayatkan daripada Abu Darda’, maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.” – Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud , dan Ahmad
Waktu membaca surah al-Kahfi: Dalam pengiraan waktu dan hari mengikut kalendar Islam, yang dimaksudkan dengan baca pada hari Jumaat ialah bermulanya pada waktu Maghrib hari Khamis sehingga sebelum Maghrib hari Jumaat.