Pokok Subur Di Halaman Rumah

Alhamdulillah, hari ini bangun seawal 6 pagi. Subuh pula sekitar 6.15pg, jadinya kena tunggu. Sempat lagi buat thumbnail untuk 2 video di YouTube Channel ‘backup’ aku. Rasa agak tepu sedikit sebab back to back bekerja yang pelbagai.

Hari ini, seperti biasa aku balik rumah Lenggeng untuk ziarah anak-anak pokok yang ditanam pada minggu lepas. Alhamdulillah, hidup sibur. Nampaklah beberapa helai daun dan ranting baharu. Seronok bukan kepalang. Sempatlah juga memetik untuk dijadikan ulam .

Baca: GUANGZHOU HUAISHENG MOSQUE

Tadi, aku tambah tanam anak benih kencur / cekur. Makanan kegemaran aku sewaktu kecil. Agak jarang mak masak menu ini. Kalau masak, memang habis seperiuk aku makan. Tengahari, petang dan malam. Sedap dan sangat membuka selera.

Balik kampung tempoh hari, kakak aku bagi bekal seplastik anak benih pokok cekur / kencur ini. Alamak, mana nak tanam tak tahulah. Nak makan, aku pulak memang duduk seorang. Acaner tu.

Harap dapat tumbuh subur dan cepat-cepat mengeluarkan dedaun yang lebar, menghijau dan banyak. Umbisinya boleh dijadikan bumbu dan daunnya pula boleh dijadikan hiasan / penambah perasa dalam masakan. Nyum Nyum Nyum

Tinggal nak tanam pokok kari dan serai sahaja lagi. Antara bahan asas yang selalu aku beli di pasar. Lepas ini, tak payah membeli barangan ini. Petik je di halaman rumah hihi.

Melawat Rumah di Albury 1, Mahkota Hill

Cuti panjang minggu ini aku ambil kesempatan untuk melawat rumah aku di Albury 1, Mahkota Hill Lenggeng. Kalau tak silap, sewaktu promosi beli rumah dulu, mereka menggunakan perkataan ‘South Semenyih’. Tapi rumahnya alamat rumah terletak di daerah Lenggeng dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai. Insyaallah tahun depan dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban pula katanya.

Sudah hampir setahun juga aku membayar ansuran bulanan rumah ini. Nasib baik ada KWSP. Ringan sedikit beban tu. Aku perhatikan, projek perumahan 2 tingkat Albury 2 pun sudah siap. Tengok gaya, macam sudah ada yang duduk kat situ. Apatah lagi di Albury 1 dimana aku beli rumah. Memang sudah ramai yang duduk situ. Tak kurang juga yang dok buat ubah suai rumah sana sini (termasuklah jiran aku).

Agak semak samun juga keadaan rumah aku sekarang ini. Tak pasti kenapa subur sangat tanah kat depan rumah tu hahaha. Agaknya sebab Xavier ada ditanam disitu kot ahaks. Agak susah nak memangkas / menebas semak samun situ. Jadinya, aku gigih membeli racun rumpai dan siram je kat timbunan rumput kat situ. Harapnya, tatkala aku ziarah minggu depan, rumput tu sudah mati kering. Lepas tu, aku nak tutup dengan plastik hitam untuk elak rumput tumbuh. Hajatnya, nak tanam sesuatu. Tapi, tak memikir lagi jenis tanaman apa yang nak ditanam kat situ.

Aku langsung tak memikir nak ubah suai rumah Lenggeng. Sebabnya jaraknya agak jauh dari tempat kerja / pengangkutan awam. Aku beli pun sebab nak dapatkan asset hartanah je pun. Sekurang-kurangnya duit aku dapat disalurkan pada sesuatu yang bermanfaat pada masa hadapan. Buat masa ini,aku memikir nak sambung belajar Sarjana kat UKM je. Lain-lain, aku tak fikir. Nak kumpul duit kearah sambung belajar je.

Pertama Kali Membayar Cukai Tanah dan Taksiran

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah yang amat. Sedar tak sedar, rupanya aku sudah mula wajib membayar cukai tanah dan taksiran rupanya hahaha. Walaupun aku tak duduk lagi kat rumah itu, bayaran cukai tetap kena bayar. Nasib baik tak mahal mana. 

Cukai Tanah dan Cukai Taksiran ini berbeza. Satu kepada Pejabat Tanah dan Galian manakala satu lagi untuk kerajaan tempatan. Untuk kes aku ialah Majlis Perbandaran Nilai. Tapi, kalau tak silap dulu katanya Majlis Perbandaran Nilai akan bergabung dengan Seremban untuk membentuk Bandaraya. Kalau tak silap aku lah. Tak tahu apa statusnya sekarang selepas kerajaan bertukar ek.

Actually jakon juga perasaanya sebab kena bayar cukai tanah hahaha. Dahulu, rasanya mak bapak je yang fikir pasal benda ini. Rupanya la nie aku pun dah kena fikir sama. Tak tahulah apa tindakannya kalau tak bayar cukai. Bayar dan jalankan je kewajiban.

Harap murah rezeki dan melimpah ruah belaka huhu.

Tiga Panduan Masuk Rumah Baharu

Pertama: Periksa Keadaan Rumah

Sebaik sahaja mendapat kunci rumah, terus lawati rumah baharu itu. Periksa keadaan persekitaran dan kemasan binaan pada rumah terutamanya pintu, tombol, sinki, pam tandas, bumbung. Jika pembelian rumah adalah secara berpakej contohnya bersekali dengan kabinet dapur dan penghawa dingin, pastikan ia telah dipasang pada tempat yang sepatutnya. Ambil gambar dan tandakan untuk diajukan kepada pihak pemaju.

Kedua: Periksa Keadaan Lantai / Jubin

Ketuk perlahan setiap sudut lantai atau dinding bagi memastikan pemasangan jubin adalah kemas dan tidak lopong. Kebiasaannya, jubin yang dipasang tidak kemas akan padat pada tengah-tengah, namun lopong di bahagian sudut. Pastikan juga tiada apa-apa keretakan pada binaan rumah samaada pada dinding mahupun pagar.

Ketiga: Pasang Geriji dan Kunci Semua Pintu / Tingkap

Perlu disegerakan bagi memastikan keselamatan barangan di rumah. Ini bagi mengelakkan kejadian kecurian terutamanya kabel elektrik. Jika perlu, tukar kunci pintu depan dan belakang rumah. Beli mangga khas untuk mengunci kesemua pintu dan tingkap.

Tips Beli Rumah Pertama

Kali ini kita kongsikan pengalaman tatkala membeli rumah pertama pada tahun lepas.  Yelah, sampai sekarang macam tak percaya bakal punya rumah sendiri. Dulu aku pun ingat orang nak beli rumah ni kena stabil sana sini. Sebenarnya, tak lah susah mana. Sebab dalam kes aku, beli rumah yang under construction dan secara kebetulan ada agen yang menguruskan dari mula hingga tamat. Hanya perlu sediakan wang sahaja. Pengsan.

Ilmu Mengenai Hartanah

Untungnya budak-buak zaman sekarang. Segala macam ilmu hanya di hujung jari sahaja. Zaman muda mudi aku dulu perkongsian ilmu berkenaan hartanah memang kurang. Ilmu-ilmu ini boleh didapati di laman web / blog berkaitan hartanah secara percuma. Kalau ada duit lebih sedikit, boleh je hadiri mana-mana seminar atau beli je buku/ebook. Nak lagi mudah, follow je laman sosial otai-otai jutawan hartanah.

Daripada ilmu ini, bolehlah buat kajian atau usha-usha rumah mana yang berkenan dihati berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

Duit Simpanan

Paling penting. Sila simpan duit (walaupun sedikit) sejak belajar di Universiti lagi. Duit biasiswa atau PTPTN tu jangan belanja sesuka hati. Simpan sedikit untuk bekalan kelak. Kalau berkesempatan, buatlah kerja separuh masa seperti kerja di butik / pasaraya atau perniagaan online. Sekurang-kurangnya boleh timba pengalaman dan duit pun bertambah.

Beli Ikut Kemampuan

Kalau boleh, belilah rumah yang bersesuaian. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan beli rumah yang terus ‘mahal’ dan memerlukan ansuran bulanan yang tinggi. Mulakan dengan yang sedikit dan mengikut kemampuan. Contohnya rumah flat atau apartment biasa. Tapi kalau sudah ketentuan-Nya kau dapat rumah yang memang agak tinggi, nak buat macam mana kan? Kita merancang, Tuhan yang menentukan.

Macam kes aku, rancangnya nak beli rumah apartment atau Rumah SelangorKu. Tapi akhirnya dapat rumah terus 1 tinggal di pinggir bandar.

Pekerjaan Yang Stabil

Dahulu, jika nak buat permohonan pembelian rumah, mesti nak kerja yang berstatus tetap. Tapi kini tidak lagi rasanya. Bank akan tetap terima permohonan jika kerja berstatus kontrak tersebut. Asalkan status kontrak tersebut adalah pada tempoh yang panjang.

Apa yang penting adalah rajin dan berbaik-baiklah dengan rakan sekerja khususnya majikan. Insyaallah, semuanya akan Okay jika kita rajin dan tidak berkira buat kerja.

Agama

Bagi aku, hubungan dengan Allah swt itu tersangat penting. Kau buatlah macam mana pun tapi kalau kau tak jaga hubungan dengan yang Esa, gerenti hati kosong. Rasa macam ada je yang tak kena. Time dalam proses pencarian dan permohonan itu, cuba amalkan Solat Sunat Dhuha dan doa banyak-banyak mohon dipermudahkan segalanya. 

80,000 Unit RUMAWIP Menjelang Tahun 2020

Sejak tahun 2013 hingga 31 Disember 2016, sebanyak 11,627 unit Rumawip melibatkan 19 projek telah dijual kepada rakyat di negara ini.Daripada jumlah tersebut, 3802 unit telah siap dibina dan diduduki. Manakala 6099 unit pula telah menandatangani perjanjian jual beli dan baki 830 unit sedang di peringkat untuk memuktamadkan perjanjian jual beli.

Rumawip

Dalam pada itu, akhbar Sinar Harian memaklumkan bahawa terdapat sejumlah 14,238 unit buah rumah melibatkan 23 projek sedang dalam pembinaan dan berada di peringkat akhir saringan permohonan. Projek-projek tersebut dijangka siap antara tahun ini hingga 2020.

Sebanyak 25,308 unit melibatkan 43 projek telah mendapat kelulusan perintah pembangunan (DO) manakala 26,138 unit membabitkan 44 projek lagi sedang di peringkat pertimbangan Jawatankuasa Teknikal Pusat Setempat atau One Stop Centre (OSC).

Kesemua projek ditawarkan tersebut melibatkan harga jualan antara RM198,000 hingga RM300,000 di Kuala Lumpur.Manakala di Labuan pula, harganya bermula dibawah RM157,000 seunit.

Sumber: Sinar Harian, Utusan

Rumah Mampu Milik RUMAWIP Residensi Seri Wahyu

Mah Sing Group Berhad akan melancarkan projek Rumah Mampu Milik Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Seri Wahyu di Galeri Jualan LakeVille Residence pada 29 Mac 2017 ini. Residensi Seri Wahyu ini sangat sesuai untuk golongan belia serta keluarga kecil yang bekerja di pusat bandar KL.

Projek ini merangkumi 660 unit kediaman bekeluasan 244 meter persegi dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Setiap unit turut disediakan satu petak. Harga kediaman adalah bermula pada kadar RM300,000 seunit.

Pembeli diberi pilihan melengkapkan isi rumah melalui pakej Mah Sing dengan tambahan sebanyak RM30,000 merangkumi pakej kelengkapan bilik, dapur, air-condition, pemanas air, jubin lantai dan suis elektrik.

RUMAWIP ialah singkatan kepada Rumah Wilayah Persekutuan. Ia merupakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

Syarat Kelayakan Permohonan RUMAWIP

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 18 tahun keatas
  • Menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan
  • Pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 (bujang) dan RM15,000 (Suami Isteri)

KLIK: Pendaftaran RUMAWIP

265,000 Telah Mohon Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ)

Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) yayasan Sultan Ibrahim telah menerima permohonan pra-pendaftaran sebanyak 265,000 secara online semalam dan jumlah ini akan terus meningkat dan meningkat lagi.

Laporan daripada BHarian menyebut, saringan pemilihan akan dibuat oleh jawatankuasa yang akan dibentuk dan ahlinya pula dipilih sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baca : Info Mengenai RIBJ 

Semua permohonan akan disaring satu persatu secara telus dan adil sekaligus membolehkan objektif pelaksanaan pembinaan RIBJ ini dapat mencapai sasarannya.

Projek RIBJ ini membabitkan lebih 1,800 unit di tiga lokasi iaitu di Bandar Dato Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana dengan harga seunit antara RM80,000 hingga RM429,000.

 

Negara Bakal Kekurangan 1 juta Unit Rumah Mampu Milik Pada Tahun 2020

Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menyatakan negara bakal menghadapi masalah kekurangan rumah mampu milik  sebanyak 1 juta unit menjelang tahun 2020. Walaupun terdapat pelbagai program dan projek yang disediakan oleh sektor swasta dan kerajaan, namun jumlah unit yang dibina pada masa kini masih tidak mampu menampung permintaan pasaran.

Mengikut laporan, pada tahun 2014, negara menghadapi kekurangan bekalan rumah mampu milik berjumlah 960,000 unit.

rumah mampu milik

Kesan kekurangan bekalan rumah terhadap kemampuan diburukkan lagi oleh kadar peningkatan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang dengan kadar kenaikan harga rumah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan trend semasa harga rumah yang berharga melebihi RM250,000 seunit.

Pada masa yang sama, terdapat bekalan berlebihan bagi rumah mewah yang di luar kemampuan isi rumah. Sebahagian besar kediaman dalam kategori ini tidak dapat dijual.

Pemaju kelihatannya lebih teruja membina pusat membeli belah demi mengaut keuntungan berbanding menyediakan rumah mampu milik. Perkara ini dpaat dilihat apabila kurang daripada 30 peratus pelancaran projek rumah baharu pada tahun 2016 adalah daripada rumaah mampu milik yang berharga di bawah RM250,000. Manakala 36 peratus pula bagi RM500,000 ke bawah.

Dari segi pasaran hartanah pula, terdapat tiga sektor yang menjadi tumpuan iaitu rumah kediaman bertingkat, bangunan pejabat dan terlalu banyak pusat beli belah di Malaysia.

BNM menolak persepsi kurangnya pembiayaan dan menyatakan pada akhir tahun 2016, kira-kira 56 peratus daripada pinjaman terkumpul adalah dari rumah berharga bawah RM250,000 seunit. Manakala 25 peratus pula datang daripada rumah berharga antara RM250,000 hingga RM500,000.

Pada tahun 2016 juga, peratusan permohonan pinjaman yang ditolak hanyalah pada kadar 23.6 peratus sahaja.

Dengan kata lain, isu perumahan mampu milik ini lebih kerapda masalah permintaan dan penawaran yang memerlukan perhatian pihak pembuat dasar dan bukannya masalah akses kepada pembiayaan.

Mungkin, penubuhan agensi tunggal untuk menyelaraskan penyediaan rumah mampu milik boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan rumah mampu milik di negara ini pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, langkah ini juga perlu dilengkapkan dengan skim pembiayaan yang lebih inovatif untuk membiayai pembelian rumah mampu milik.

Difahamkan harga hartanah dan kos infrastruktur sahaja merangkumi separuh daripada kos rumah. Perkara ini perlu dikurangkan jika kita mahu menyelesaikan isu rumah mampu milik ini.

Sumber: Kosmo, BHarian, Utusan