Apa Hukum Meninggalkan Solat Jumaat?

Solat Jumaat yang dilakukan setiap hari jumaat merupakan perjumpaan mingguan untuk kariah (penduduk) Islam setemput untuk berkumpul, beramah mesra dan menuntut ilmu. Perjumpaan mingguan ini juga memberi peluang kepada pemimpin masyarakat untuk menyampaikan amanat, pesanan disamping informasi mutakhir kepada masyarakat setempat.

Sejarah Pensyariatan Solat Jumaat

Orang pertama yang memanggil ‘Jumaat’ adalah Ka’ab bin Luay bin Ghalib. Hari tersebut juga dinamakan sebagai Yaum al-Mazid (Hari Pertambahan) kerana pada hari ini kebaikan bertambah. Ia adalah hari terbaik selepas Arafah.

Ibadah solat Jumaat telah diwajibkan ke atas orang Islam di Mekah sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah. Akan tetapi orang Islam pada ketika itu tidak dapat melaksanakannya kerana pada ketika itu, mereka masih lemah dan tidak dapat berhimpun untuk mendirikan solat Jumaat.

Abu Daud meriwayatkan, Ka’ab bin Malik berkata, orang pertama yang menghimpunkan orang ramai untuk solat Jumaat di Madinah (sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah) adalah As’ad bin Zurarah ra.

Apa Hukum Meninggalkan Solat Jumaat?

Syarat Wajib Solat Jumaat

Kewajipan solat Jumaat hanya jatuh ke atas mereka yang memenuhi syarat berikut. Akan tetapi, ibadahnya tetap sah bagi mereka yang mengerjakannya namun tidak tergolong didalamnya.

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Merdeka
  5. Lelaki
  6. Sihat tubuh badan
  7. Bermastautin di tempat solat Jumaat didirikan

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat

Firman Allah swt dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9, maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar).

Solat Jumaat diwajibkan ke atas semua golongan yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat. Ia adalah kewajipan; fardhu ain yang mesti dilakukan sendiri oleh setiap individu tersebut.

Daripada Abu Hurairah dan Ibn Umar ra, mereka mendengar Nabi Muhammad saw bersabda ketika berada di atas mimbar, maksudnya:

Hendaklah kaum-kaum (yang cuai) berhenti daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah swt pasti akan mematerikan hati-hati mereka dan mereka akan menjadi manusia yang lalai

Hadis Riwayat Muslim

Baca: Adakah saya hamil? Tanda Tanda Hamil 1 Hari

Allah swt memberi amaran dan peringatan tentang balasan seksaan kepada muslim yang mengabaikan kewajipan solat Jumaat.

Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan 3 kali solat Jumaat, kerana memandang ringan terhadapnya. maka Allah akan menutup (pintu) hatinya.

Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’ie

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI