Asas Penjagaan Kucing Parsi

Jaga kucing comel, mana-mana sama sahaja. Tapi, jaga kucing parsi yang super comel dan gebu ini kene lebih prihatin sedikit. Sangat berbeza berbanding menjaga kucing kampung dulu. Memang satu pengalaman baru untuk aku yang sedari kecil membela kucing kampung. Tetiba sudah besar panjang membela kucing parsi yang berbulu panjang pula. Penjagaan kucing parsi yang berbulu panjang ini serba serbi lebih rumit dari pelbagai segi.

Pemakanan

Kucing parsi yang aku bela ini berbulu panjang. Jadi, makanan yang diberikan pun memang kene bersesuaian dengan mereka kerana lazimnya mereka akan mempunyai masalah gumpalan bulu (hairball). Jadi tak boleh makan sembarangan. Jenama makanan yang aku berikan kepada mereka ialah Royal Canin. Pernah beberapa kali mencuba untuk menukar jenama, tak jalan sebab sejak kecil lagi mereka memang makan makanan jenama ini. Punya protein dan serat yang tinggi. Rasa dan baunya pun memang telah sebati.

Makanan basah pula aku beri pada kekerapan seminggu atau sebulan sekali. Dulu tatkala mereka kecil, memang kerap bagi makanan basah dalam tin atau rebus sup ayam kosong kepada mereka. Memang memikat selera mereka.

Indoor atau Outdoor?

Kucing parsi yang aku bela ini baka berbulu panjang dan lebat. Jadi, sudah semestinya bela dalam rumah (indoor) sahaja. Takut kalau dilepas keluar, pergi tak kembali. Kene kebas dek sesiapa yang lalu lalang. Betul tak? Lagipun, kucing comel baka ini memang cantik kalau hanya duduk dalam rumah. Lagi satu, sifat mereka ini tidak se-agresif baka lain. Tak pandai sangat nak pertahankan diri.

Salah seekor kucing parsi aku tu gaduh sampaikan mulutnya tak boleh katup. Menganga sahaja sebab masalah rahang. Ini maslaah utama bagi kucing yang bermuka penyek macam kucing parsi.

Perapian

Kucing comel berbulu panjang ini perlu disikat setiap hari dan dimandikan pada kekerapan antara 4 hingga 6 minggu sekali. Bertuah kalau dapat kucing betina yang pandai jaga diri. Kalau kucing jantan, memang tak pandai sangat menata rias bulunya yang panjang dan tebal tu. Gunakan syampu atau perabi serta sikat yang memang dibuat khusus untuk mereka.

Mata pula sentiasa perlu dicuci / dilap setiap hari. Ketip kuku selang 2 minggu sekali.

Pasir Kucing

Terdapat banyak jenis pasir kucing di pasaran. Beli mengikut kemampuan dan bajet masing-masing. Bagi kucing comel berbulu panjang, dapatkan pasir yang agak berkualiti untuk mengelakkan pasir itu melekat pada bulu si comel. Pasir kucing yang berkualiti mampu menyerap bau busuk, mengeras dengan cepat dan mudah menyerap cecair pada najis.