12 Nama Nama Bulan Islam dalam Kalender Hijrah

Firman Allah swt, maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa). – Surah Al-Taubah : 36

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW. Daripada Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:

“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.” – Hadis Riwayat Imam Ahmad

Tarikh Bulan Hijrah Islam yang pertama adalah bermula ketika Nabi Muhammad SAW serta umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah. Nama-nama bulan Arab ini telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan penggunaan rasminya dimulakan pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a

NAMA-NAMA ANAK LELAKI / ANAK PEREMPUAN ISLAM

Bulan 1: Muharram

Dengan tibanya bulan Muharram dalam kalendar hijriah ini merupakan bermulanya tahun baru islam bagi seluruh umat islam. Nama bulan ini diambil dari perkataan “Haram” yang membawa makna terlarang. Ini kerana budaya atau tradisi masyarakat arab yang mengharamkan sebarang peperangan berlaku pada bulan ini.

Terdapat banyak kelebihan terutamanya pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.

Dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa tu akan menutup dosa setahun sebelumnya”. – Hadis Riwayat at-Tarmizi.

Dari Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram”. – Hadis Riwayat Muslim.

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah:

  • Peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah
  • Peristiwa perang Badar

Bulan 2: Saffar

Perkataan Safar ini diambil dari “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Ia diambil bersempena dengan situasi masyarakat Arab yang sering meninggalkan rumah kediaman mereka untuk pergi berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.

Bulan 3: Rabiul Awal

Merupakan bulan pertama musim bunga dan secara kebiasaannya, pada bulan inilah pokok-pokok mula tumbuh subur menghijau.

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah:

  • Nabi Muhammad SAW dilahirkan iaitu pada 12 Rabiulawal 20 April 571 Masihi.
  • Perlantikan Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul iaitu pada 9 Rabiulawal bersamaan 610 Masehi
  • Kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW iaitu pada 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijrah.

Bulan 4: Rabiul Akhir

Merupakan bulan kedua musim bunga di tanah arab.

Bulan 5: Jamadil Awal

Merupakan bulan pertama musim panas.

Bulan 6: Jamadil Akhir

Perkataan Jumada bermaksud kemarau di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.

Bulan 7: Rejab

Rejab adalah membawa maksud bulan yang penuh kebesaran dan mengagungkan. Ia juga merupakan salah satu daripada 4 bulan haram dalam islam yang dihormati dan dimulian sejak zaman Jahiliah lagi.

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah:

  • Berlakunya Israk dan Mikraj
  • Turunnya perintah Allah swt berpindah kiblat ke arah Masjidil Haram
  • Berlakunya Perang Tabuk
  • Hijrah pertama ke Habsyah
  • Pembebasan Baitul Maqdis
  • Kelahiran Imam Syafie
  • Kelahiran Saidina Ali Abi Talib
  • Perjanjian Aqabah kedua
  • Perang Khaibar

Bulan 8: Sya’aban

Maksud perkataan sya’ban adalah perpisahan atau pembahagian. Bulan Sya’aban ini dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam islam.

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha yang bermaksud: “Bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berpuasa di dalam bulan Syaaban kemudian meneruskannya di dalam bulan Ramadhan”. – Hadis Riwayat Imam Abu Daud

Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Sya’ban?. Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. Hadis Riwayat al-Nasa’ie, Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW, no. Hadith 2317

“Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”.[Lihat: Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313]

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah:

  • Peralihan Kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Ka’bah di Masjidil Haram.
  • Malam Nisfu Sya’aban iaitu pertengahan bulan Sya’aban.

Bulan 9: Ramadan

Perkataan Ramadan diambil daripada ” ramada” yang membawa maksud batu panas. Ia bererti terik atau terbakar, kerana kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan panas di Semenanjung Arab. Dan setelah Islam menapak, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). – QS. Al-Baqarah : 185

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah:

  • Bulan diturunkan al-Quran
  • Peristiwa Perang Badar – Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun 2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar.
  • Pembukaan Kota Mekah – Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke 6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Makkah melanggar perjanjian Hudaibiyah yang telah termeterai dengan orang Islam.
  • Pada bulan Ramadhan tahun ke 10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat baginda untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan.
  • Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke 9 Hijrah, Nabi Muhammad saw telah menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung besar al ‘Uzza di Nakhla.
  •  Pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah, Kota Thaif telah diserahkan kepada umat Islam. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini pun dimusnahkan.
  • Pada 28 Ramadhan tahun ke 92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Bulan 10: Syawal

Perkataan syawal berasal daripada “syalat “ yang membawa maksud mengangkat. Bulan ini juga dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini

Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan yang menandai kemenangan melawan hawa nafsu dan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.

Antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini ialah-

  • Perang Hunain – berlaku pada 3 Syawal, tahun kelapan Hijrah.
  • Perang Khandaq – Perang ini terjadi bermula daripada bulan Syawal hinggalah awal bulan Zulkaedah tahun kelima Hijrah. Perang Khandaq ini juga dipanggil Perang Ahzab
  • Perang Bani Qainuqah –  Berlaku pada Syawal tahun kedua Hijrah. Umat Islam Madinah telah menerima fitnah yang dilontarkan oleh kaum Yahudi.  Maka Rasulullah SAW menghalau mereka dari kota Madinah. Baginda telah memimpin pasukan Islam untuk mengusir kaum ini keluar.
  • Perang Bani Sulaim – Perang ini juga berlaku pada tahun kedua Hijrah. 
  • Perang Uhud – Perang ini terjadi pada 15 Syawal tahun ketiga Hijrah.  Ramai yang mati syahid termasuklah bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Hamzah bin Abdul Mutalib.
  • Kelahiran Imam al-Bukhari
  • Pernikahan Rasulullah SAW bersama Aisyah RA dan Ummu Salamah RA

Bulan 11: Zulkaedah

Perkataan Zulkaedah berasal daripada ‘ Qa’ada’ yang membawa maksud tempat duduk.ia merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang.

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah pada tahun ke-7 Hijrah, Rasulullah SAW telah memimpin umat Islam menuju ke Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah yang pertama.

Bulan 12: Zulhijjah

Merupakan bulan terakhir dalam kalender islam. Bulan ini juga merupakan bulan suci terakhir yang mana dalam bulan ini dilarang untuk melakukan sebarang pertempuran oleh kerana, pada bulan ini haji dilaksanakan.

Pada bulan ini kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji.

Dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang membawa bermaksud: “Puasa pada hari Arafah akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu menutup dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya”. – Hadis Riwayat Ibnu Majah

Antara peristiwa penting yang terjadi pada bulan ini ialah Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah

4 Bulan Haram Dalam Islam

Diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda

Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. – Hadis Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054

Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI